Saturday, March 06, 2010

DERA DAN KEMANUSIAAN

Amat mengharukan; anak cantik berumur 3 tahun dengan nama yang begitu cantik; Syafiah Humairah, mati didera oleh seorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibunya; ikatan tidak sah untuk dijadikan apa-apa ikatan perhubungan yang berasaskan tanggungjawab dan hak di sisi undang-undang. Beliau dihentak, ditendang, dipijak dan dipukul sehingga berlaku pendarahan otak dan kerosakan buah pinggang yang membawa maut.

Di dalam kes terbaru, seorang kanak-kanak India; Hareswarral, berumur 18bulan juga mati kerana patah tulang rusuk dan hancur hati ditendang dan dipijak oleh bekas pengasuh di mana ia tinggalkan oleh ibunya untuk menyelesaikan masaalah peribadi. Pada Tahun 2008, Hoo Wu Thon dijumpai mati di sebuah kondo akibat kecederaan serius akibat di dera.

Mengapa perkara begini boleh terjadi di dalam masyarakat yang mendakwa mengamalkan Budaya Timur yang murni? Dari kes-kes di atas, ia adalah penyakit tenat yang melangkaui sempadan kaum. Di mana berkuburnya NILAI KEMANUSIAAN Masyarakat kita? Di mana perginya sifat KASIH SAYANG yang menjadi tonggak nilai-nilai kemanusiaan tersebut? Mengapakah mental masyarakat kita sudah menjadi begitu rapuh sehingga kes-kes begini boleh berlaku? Apakah pemakanan mental dan rohani yang menjadi diet masyarakat kita di zaman ini?

Masyarakat perlu SEGERA ambil iktibar dari kejadian-kejadian tersebut dan menyemak diri sendiri. Segeralah semak Nilai-nilai diri masakini, nilai-nilai moral anak-anak dan masyarakat sekeliling. Kita mesti tanamkan sikap prihatin dan kasih sayang sebagai NILAI UTAMA masyarakat sebelum keadaan menjadi lebih parah dan kita hidup di dalam Masyarakat yang Tidak Peduli dan Berhati Batu walaupun saban hari diberikan ceramah dan nasihat di celah-celah kecelaruan maklumat dan hiburan dari pelbagai sumber.

SEDARLAH SEBELUM TERLAMBAT.

Kita takut jika kita tidak berbuat apa-apa, apabila azab Allah menimpa, ia akan menimpa keseluruhan masyarakat dan Allah akan menggantikan masyarakat kita dengan masyarakat lain untuk melaksanakan tugas tersebut.