Berita Harian Selasa, 07 April 2009
Teman lelaki peras ugut wang tunai RM400
KUANTAN: Tindakan seorang wanita mengirim gambar bogelnya kepada teman lelakinya menerusi sistem pesanan multimedia (MMS) sebagai tanda setia membawa padah kerana lelaki itu mengugut akan menyebarkan gambar bogel itu jika enggan memberinya wang. Bimbang dengan ugutan terbabit, mangsa berusia 25 tahun dari Kampung Paya Keladan, Temerloh terpaksa mengikut kemahuan teman lelakinya dan menyerahkan RM400 bagi memenuhi permintaannya.
Apabila membaca berita sebegini saya rasa seolah-olah tidak percaya bagaimana seorang wanita berumur 25 tahun begitu bodoh. Bagaimana satu gambar bogel boleh menggambarkan cinta sejati adalah di luar kewarasan fikiran yang lojik. Gambar bogel atau lucah hanya menggambarkan nafsu serakah. Jika minat seseorang laki-laki itu adalah kepada kebogelan sudah tentu dia tidak ada minat kepada personaliti atau keperibadian wanita tersebut. Yang dia minat hanyalah keghairahan nafsu kepada OBJEK Bogel tersebut dan bukan kepada orangnya.
Nah... bila dah terhantuk baru tengadah. Kalau sebelum berlaku semua larangan ini dituding kepada kekolotan golongan yang lanjut usia dan sudah tidak reti apa itu remaja. Ketahuilah wahai remaja bahawa golongan lanjut usia dan kolot ini sudah melalui usia di mana keseronokan dan gelojak nafsu menjadi peransang dan penentu tindakan. Akan tetapi selepas usia menjadi matang, fikiran juga turut matang. Segala tendang terajang duniawi sudah diketahui dan cetek dalam lurah dituruni, tinggi rendah bukit diredah sudah. Ilmu dan pengalaman tersebut menjadikan ia seorang yang kolot; kolot bukan gelap gulita, kolot terang lagi tersuluh, pandangan tajam menyorot segala, yang terang mahupun terselit.
Ingatlah kaum Hawa. Kalian adalah tiang negara. Tiang penegak sebuah kehidupan, angin kencang rumah tak goyah, hujan turun penghuni tak basah, petir berdentum rumah tak tumbang. Bentuklah peribadi dan harga diri. Jangan dijual maruah diri, apatah lagi diberi percuma. Walau akal 1:10, jika yang satu itu teguh, ianya mencukupi dan melebihi 9 yang lemah. Satu tiang dari kayu merbau adalah lebih teguh dari 9 tiang kayu gred 3 yang dimakan anai-anai. Fahamilah..
No comments:
Post a Comment