Tuesday, March 24, 2009

AKADEMI UMNO

BERITA HARIAN Selasa, 24 Mac 2009 27 Rabiulawal 1430
Veteran tolak cadangan tubuh Akademi Umno

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani tidak menyokong cadangan penubuhan Akademi Umno oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Saifuddin Abdullah sebagai badan tetap yang berfungsi sebagai badan pemikir kepada Umno. ...


"Tidak perlu ‘think tank’ (badan pemikir), nanti tambah memeningkan kepala. Apa yang penting, setiap pucuk pimpinan parti perlu mendekati serta mengutamakan rakyat," katanya ketika dihubungi semalam.

Penganalisis politik, Prof Dr Shamsudin Abdul Rahim, berkata penubuhan Akademi Umno wajar disokong dan dilaksanakan dengan memperluaskan lagi peranannya dalam Umno.

Itulah sebabnya UMNO tidak akan dapat menangani masalah aspirasi rakyat semasa. Pemimpin lama masih berfikiran lama. Zaman TS Aishah Ghani adalah 30 tahun dahulu. Sudah 30 tahun berlalu. Kalau anak yang dilahirkan pada zaman beliau, anak itu sudah berumur 30 tahun dan mungkin sudah menjadi anggota muda sayap parti politik pembangkang. Seperti kata DS Najib, UMNO mesti berubah atau diubah. Kata mentor saya; "change or die".

Setiap organisasi cemerlang peringkat antarabangsa mempunyai fasiliti R&D yang besar. Bajet untuk R&D cukup besar sekali untuk membolehkan organisasi tersebut berdaya saing dan mampu mengatasi pihak competitor (pesaing). Teknik-teknik percambahan fikiran digunakan. Teknik pemikiran kreatif dan lateral di aplikasi untuk ketrampilan yang sentiasa segar bugar, moden, semasa, maju dan tidak retro.

Pandangan retro ada tempatnya untuk membudayakan warisan, bahasa, menjadikan warisan sebagai satu 'anchorage', sebagai 'roots' yang kuat dan teguh supaya dahan dan pucuk tidak tumbang ditiup angin. Tanpa akar yang kuat sejauh mana kita mencakar langit, atau dengan kata-kata DS Najib, mengangkasakan diri, ia akan jatuh menyembam ke bumi. Akan tetapi jika hanya akar kuat tetapi pokok hanya menyelinap di bumi tanpa mahu melonjak ke atas, lambat laun pokok itu akan dicabut dan digantikan dengan pokok yang lebih segar buat penghias halaman.

Keluar ke akar umbi hanya sebahagian dari tugas wakil rakyat. Mendekati rakyat hanya untuk menyelinap sanubari dan memahami permasaalahan mereka. Selepas itu untuk mengatasinya perlulah langkah ke hadapan, langkah ke atas, langkah melonjakkan permasaalahan bangsa untuk diselesaikan secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Jika rakyat lapar, tidak cukup dengan hanya beri makan walaupun itulah yang akan memancing undinya. Rakyat itu perlu diberikan kesedaran untuk berusaha, diberikan ilmu untuk menceburi bidang yang memberikan pulangan, diberikan kemahiran untuk mendapat kerja yang akan memastikan ia tidak lagi lapar. Selain itu pemikirannya dibentuk untuk lebih maju ke hadapan, lebih berdaya saing dan lebih kuat cinta kepada negara dan semangat ingin berbakti.

Rakyat sekarang tidak lagi macam di zaman DS. Rakyat sekarang terdedah dengan langit terbuka, maklumat dan fitnah datang melalui internet, sumber maklumat alternatif macam Malaysiakini, forum-forum seperti Sang Kancil dan blog-blog. Rakyat tidak lagi hanya membaca UM dalan tulisan Jawi. Rakyat disogokkan dengan pemikiran pemikiran baru yang rata-rata anti UMNO; konon nya UMNO sombong, UMNO rasuah, UMNO pembuli besar, UMNO pencetus keganasan, UMNO bekepentingan. Rata-rata adalah imej negatif dan banyak yang benarnya pun.

Sejauh manakah jentera UMNO dapat mematahkan serangan-serangan minda ini? Sejauh manakah UMNO masih relevan? Sejauh manakah UMNO masih dilihat sebagai pembela nasib rakyat seperti di zaman DS? Anak-anak kita di universiti-universiti tempatan lebih terdedah kepada pemikiran politik pembangkang daripada pemikiran politik UMNO. Yang di luar sana, usah cakap lah. Bagi mereka ini, isu kemerdekaan sudah lama tamat. Sekarang juga bukan lagi isu mengisi kemerdekaan lagi. Itu pun sepatutnya sudah diselesaikan dengan jaya. Sekarang adalah isu persaingan, isu ekonomi bebas, isu meritokrasi, isu melonjak ke hadapan, menerobos sempadan. Isu DEB sepatutnya sudah berlalu dan sekarang sepatutnya rakyat berdiri sama tinggi, bersaing secara sihat tanpa menjejaskan hak-hak Orang Melayu yang termaktub.

Rakyat yang berfikiran merasa geli dengan cara UMNO yang masih menggunakan tektik lama dengan projek-projek Mee Segera setiap kali menjelang pilihanraya. Rakyat mual dengan poltik menghantar perwakilan ke luar negara untuk tujuan tertentu, hotel-hotel mewah disediakan dengan makan-minum dan program lawat melawat dan hadiah-hadiah untuk mereka, di peringkat kampung pula dengan BBQ-BBQ dan jamuan seolah kenduri kahwin untuk setiap pos undi, saham-saham percuma. Dari mana datangnya wang untuk semua itu? Dari poket calon sendiri? Jika itu wang sponsor, tentu mereka handakkan sesuatu selepas melabur kepadacalon-calon mereka. Tidak perlulah kepada kelulusan PhD untuk memahami semua itu.

Jadi arah kemanakah hendak dibawa parti ini yang sudah banyak berjasa? Arus perjuangan bagaimanakah hendak di bawa oleh UMNO? Slogan apa yang perlu diutarakan kepada rakyat.... C'mon takkan slogan pembangunan lagi? Ini slogan di zaman arwah Tun Abd Razak dahulu. Sepatutnya kita sudah jauh ke hadapan dah. Kalau dulu membajak pakai kerbau, sekarang perlu bukan hanya mesin membajak lagi, tetapi membajak, membaja, menanam sekali gus. Tetapi UMNO masih lagi dengan slogan pembangunan dan pendekatan yang sama setiap kali pilihanraya; projek Mee Segera. Menteri Kerja Raya mensyaratkan 10% daripada kontrak yang diberikan diagih kepada kontraktor Kelas F. Ini semua adalah habuan politik. semua orang tahu kerana pemilhan kontraktor ini dibuat oleh wakil rakyat tempatan. Kalau bukan ahli UMNO pasti tidak akan dapat sub kontrak ini. Sesama UMNO pun bercakaran.

Jadi selama mana lagikah UMNO ingin menggunakan landasan 'jamu ayam di denak' sebagai pemancing undi? Di masa ini di mana kemudahan jalan raya, jalan kampung, bekalan air bersih, rumah rakyat, tenaga letrik, telefon sudah bukan isu lagi, takkan nak gunakan pendekatan yang sama lagi.

Sekarang ini perlu pendekatan mental disamping fisikal. Pendekatan DS Idris Jusoh semasa menerajui Terengganu dahulu patut digunakan di peringkat pusat. Beliau membangunkan Program Ulu alBab; generasi Quranic, Ensaiklopedik, Ijtihadik sebagai pelapis kepada generasi sekarang. Mengapa Pak Lah tidak buatkan ini sebagai program nasional? Mengapa DSIJ di peringkat negeri lebih menyerlah? Program ini yang akan membangunkan generasi masa depan kita umat Islam di negara ini patut menjadi agenda utama.

Ini adalah penterjemahan kepada Islam Hadhari yang dilaungkan Pak Lah. Mengapa Pak Lah hanya tahu menyebut Islam Hadhari sahaja sedangkan pengisiannya kosong? Terengganu masih mengekalkan sokongan tinggi kepada Kerajaan walaupun keseluruhan negeri merudum semasa PR12 dahulu. Tetapi di mana DSIJ sekarang? Orang yang berjasa membangunkan Taman Tamadun Islam, Masjid Hadhari, Program Ulul AlBab, Taman Ilmu, Sekolah Imtiaz; yang kesemuanya agenda Islam Hadhari Pak Lah. Kita lihat di Zaman Mahathir di mana DS Sanusi Junid yang dihantar ke Kedah. Satelah sekian masa pihak UMNO Negeri buat tak faham maksud tersirat, mereka di fahamkan oleh Mahathir tanpa ragu-ragu dan DS Sanusi menjadi Menteri Besar. DSIJ tidak dapat apa-apa pembelaan dari Pak Lah. Sepatutnya DSIJ dihantar ke Pusat sebagai Menteri Khas Pelaksanaan Program Islam Hadhari dan Sumber Manusia. Ini baru dipanggil mengenang jasa dan memberi isyarat jelas kepada yang lain supaya menterjemahkan agenda nasional dengan bersungguh-sungguh.

Jelas sekali bahawa UMNO perlu di 'revitalise'. Sudah tentu R&D dan badan pemikir yang mengembelingkan pakar-pakar dari universiti-universiti tempatan, tokoh-tokoh ilmuan, tokoh masyarakat, tokoh warisan, wakil badan pelajar, wakil NGO, ahli ekonomi, tokoh pendidik, pakar motivasi dan lain-lain yang boleh menyumbang untuk membentuk 'think tank' dalam meremajakan UMNO sehingga kembali relevan dan menjadi kebanggaan rakyat. Bahagian-bahagian yang menjadi kanser dan menular patut di 'operate' tanpa ragu-ragu.

Adalah tidak wajar bagi golongan lama walau sebanyak mana jasanya sekalipun hanya mahu merujuk kepada pendekatan sezaman dengan beliau walaupun pendekatan tersebut terbukti berjaya pada masa tersebut. Cabaran baru memerlukan pemikiran baru dan segar selagi tidak lari dari nilai-nilai murni warisan kita yang amat kita sanjungi itu.

2 comments:

ORANG KAMPUNG said...

assalamualaikum Tn Hj..

Saya bersetuju dengan Tn Hj..UMNO kena lihat apa kehendak masa kini.

jangan hanya bercakap dengan slogan tetapi hakikatnya..tiada apa didalamnya.

Gukita said...

W'salam... Di sini saya adalah Gukita, di lain forum mungkin pakai nama sebenar.

Apapun jalan di hadapan adalah berliku-liku dengan cabaran yang besar. Bagaimana UMNO ingin mendapatkan kembali keyakinan rakyat jika saban hari rakyat disajikan dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa.

Golongan remaja baru yang boleh mengambilalih teraju kepimpinan nampaknya kosong. Yang ada adalah yang terkenal dengan penyalahgunaan kuasa dan politik wang.