Monday, January 11, 2010

PESAN SEORANG AYAH

Assalaamualaikum anakanda,

Maaflah kerana ayahanda berbahasa sedikit baku, maklumlah ayahanda ni orang lama yang lebih selesa dengan bahasa ala P.Ramlee dan bukan bahasa sms golongan muda yang singkat dan 'street-smart'.

Dalam menyampai maksud, lisan agak tumpul; tak mampu menyampai kata, tak sampai ke destinasi harapan, tak tersentuh di sasaran kalbu. Dalam hal ini ayahanda tidak dapat menyalahkan sesiapa tetapi ayahanda sendiri yang terlalu taksub dengan metodologi pondok untuk golongan lepas sejarah (post history) dan tersasar jauh untuk golongan muda mudi zaman AF. Biarpun tak sebijak Luqmanul Hakim dan tak sepetah Tuah Iskandar mahupun sehebat Halim Othman dalam memintal kata untuk sampai ke benak hati, maksud yang diinginkan tetap sama. Malah sebagai bapa, mungkin harapan ayahanda lebih tinggi lagi kecuali berbanding bicara Luqman kepada anaknya yang dijadikan contoh oleh Allah s.w.t sendiri.

Walaupun cuak bunyinya dan berkarat mesejnya, ayahanda perlu juga sebut di sini bahawa setiap bapa yang normal inginkan yang terbaik buat anak-anaknya. Yang tak mahukan maksud tersebut adalah golongan songsang yang sudah terpesong dari landasan insani yang dikurniakan Tuhan kepada semua golongan bapa. Yang berbeza cuma penyampaiannya sahaja; ada yang terlalu keras, sederhana keras, lembut, berhikmah, penyayang dan pelbagai lagi bentuk untuk mencapai maksud yang sama. Dalam hal ini ayahanda tidak terkecuali. Corak yang telah ayahanda ambil mungkin terbawa-bawa dari pendidikan ayahanda sendiri sebagai orang kampung dari Beris Tangok; anak kepada Pak Ngah Haji tersohor yang tak lekat murid-murid mengaji Quran itu dek kerasnya didikan. Apapun ayahanda rasa ayahanda lebih lembut lagi walaupun anakanda tak kan perasan kerana anakanda tidak pernah melalui zaman silam ayahanda.

Apa yang ayahanda ingin terapkan ialah nilai Agama dan disiplin. Dunia akan berkecai tanpa bukit bukau yang memegangnya, lautan dan segala-gala di dalam dunia ini akan bertaburan tanpa graviti dan manusia akan gila tanpa akal budi. Inilah pentingnya nilai agama sebagai paksi untuk kita terus terpijak di alam nyata; alam yang dijadikan Tuhan yang kita imani kewujudannya. Tanpa agama kita ibarat lembu yang dicucuk hidung; hidup untuk makan dan dimakan, tak lebih dari itu. Atau lebih hebat sedikit; macam harimau yang garang membaham mangsa kerana itulah fitrahnya dan sang harimau tidak bebas mencorak hidup yang lain dari fitrahnya.

Kita manusia beragama Islam adalah semulia-mulia makhluq kerana kita dibekalkan akal untuk berfikir sebelum bertindak dan mampu menundukkan gelojak nafsu atau pengaruh-pengaruh yang songsang yang datang. Kita juga dapat mencorakkan hidup kita mengikut Jalan yang ditunjukkan Rasul. Jika selepas dibekalkan akal dan ilmu kita masih terikut dengan pengaruh yang menyimpang dari arah Agama, kita menjadi lebih rendah dari sang harimau tersebut yang tidak bebas menentukan corak hidupnya selain dari jalan hidup tabiinya.

Apa yang telah ayahanda lakukan adalah untuk menjadikan anak-anak ayahanda anak-anak yang soleh dan solehah, yang melapangkan dada bila dilihat, menyejukkan hati bila dipandang, melegakan rasa bila ditatap; rahmat bagi insan sekeliling dan disenangi oleh semua. Wanita solehah umpama permata yang bernilai, menyerlahkan sesiapa yang memakainya, menambahkan seri kepada siapa yang mendampinginya. Tidakkah anakanda teruja untuk menjadi insan sedemikian? Wanita Solehah bukan makhluq lemah kerana dia telah berjaya menakluqi bara nafsu dan mampu menundukkan pengaruh Iblisi; perkara yang belum tentu berjaya ditawan oleh pahlawan terbilang.

Wanita solehah bukan makhluq selekeh yang berhias dengan kain buruk buat mandi di jemboran atau baju kelawar carek buat menjemur kain di hampaian mahupun senantiasa berjubah apron buat teman di dapur sahaja. Itu semua adalah kerja-kerja amah yang telah dengan rela hati dilaksanakan wanita. Ianya bukan tuntunan agama. Wanita solehah adalah srikandi penegak maruah, pranita handal pendamping sang satria, benteng dan penyeri rumah tangga malah tiada batas sempadan yang tak mampu diterobosi. Bertentangan dengannya adalah Wanita Dholalah yang ibarat daun kering dihembus angin; terbawa ke mana saja tuju hembusan. Dihembus ke laut, lemaslah ia, dihembus ke api terbakar diri, dihembus ke tandas terpalut najis. Alangkah buruk nasibnya tanpa pedoman, tanpa iman.

Iman bukanlah terletak pada pakaian menyapu lantai dan bukan juga pada dahi yang lekuk tetapi bersemadi di hati yang suci murni. Walaupun begitu pakaian adalah petunjuknya, amal ibadat adalah petandanya. Iman di hati perlu diserlahkan dengan penampilan kerana taat itu adalah buktinya. Tidak bermakna suatu taat jika objek taat itu diperlekehkan. Tidak bermakna secebis iman jika tidak disusuli taat.

Ayahanda harap kehadiran coretan ini tidak mengganggu mimpi anakanda, tidak menggusar perasaan dan tidak mengkerut dahi yang licin. Besar gunung besar lagi harapan ayahanda, luas lautan luas lagi impian ayahanda. Masa yang terlepas tidak akan kembali, laksana silam tak dapat dirungkai. Apa yang ada hanya di hadapan, apa yang di belakang sudah tidak relevan. Tak guna tangisi apa yang lepas, tak wajar diungkit apa yang silam. Peluang di hadapan terbentang untuk direbut. Jangan lemas di kolam mandi dan jangan mati di kepuk padi.

Tanah warisan keemasan.
Pusara moyang membajai.
Semangat nenda bersemadi.
Tanah gersang tidak lagi.
Yang diwarisi adalah peluang.
Tak wajar dibuang dek dangkalnya kesumat
Tak harus di sisih dek amarahnya runtunan.

Inilah amanat ayahanda. Dengarlah. Fahamilah. Hayatilah. Mut'mainnah tempat dituju. Abadi sudahnya. Wassalam.

No comments: