Sunday, March 08, 2009
MENGEMBALIKAN IMUNITI RAJA-RAJA ISU YANG DIADA-ADAKAN
Ahad, 08 Mac 2009 11 Rabiulawal 1430
KOTA BHARU: Ketika pelbagai pihak termasuk institusi beraja melahirkan rasa kesal berikutan semakin ramai pihak mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, Umno Kelantan pula tampil sebagai Badan Perhubungan Umno negeri pertama mendesak supaya kekebalan Raja-Raja dikembalikan. [+]
Ini adalah isu populis. Kita perlu ke hadapan dan tidak menjengah ke belakang, merombak perkara-perkara yang telah di lalui dengan penuh onak duri. Kekurangan imuniti Raja-raja tidak menjatuhkan mertabat Raja-raja tetapi MEMELIHARA dari tindakan Duli-duli YM Tuanku yang kekadang kurang bijak.
Begitu juga isu pembelajaran Sains dan Mathematic dalam BI. Kita telah lalui semua susah payah untuk memahirkan diri menguasai bahasa tersebut dan apabila sudah boleh bangun sama tinggi dengan bangsa lain, ada yang mendesak melangkah ke belakang. Ini amatlah tidak bijak dan merugikan bangsa sendiri. Isu Bahasa Melayu tidak patut dikaitkan dengan hal ini. Banyak cara lain yang boleh digunakan untuk menguatkan dan memperkayakan bahasa kita.
Mengapa mereka-mereka ini tidak fokus melawan arus Bahasa Rojak dan Bahasa sms yang dikontotkan. Tengok sahaja Channel 15, pantau bahasa sms yang dipamerkan di kaca TV. Mengapa tidak bangkit berdemonstrasi dan kempen besar-besaran melawan arus yang kuat melanda ini?
Saturday, March 07, 2009
MURKA SEORANG SULTAN
BERITA HARIAN SABTU 07 MAC
PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan rasa kesal berikutan sikap pihak tertentu semakin lantang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ketika bertitah pada Majlis Perasmian Pembinaan Semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di Jalan Templer di sini, semalam, baginda turut kecewa dan sedih apabila suara lantang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu datangnya daripada orang Melayu sendiri.
Katanya, perkara itu sudah dipersetujui sebelum negara mencapai kemerdekaan yang termaktub dalam Perlembagaan negeri dan Persekutuan. "Beta berasa kesal sejak kebelakangan ini tersebar di media elektronik dan media cetak suara-suara lantang yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu di negara ini. "Apa yang lebih menyedihkan beta, suara lantang ini datangnya daripada orang Melayu sendiri yang biadap, tidak berbudi bahasa dan tidak berasa segan atau malu," katanya.
..."Di manakah orang Melayu sekarang. Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadai bangsa dan negeri. "
Ini adalah kata-kata yang amat pedih dari DYMM Sultan Selangor kepada anak bangsanya; Bangsa Melayu. Tiada ucapan yang lebih pedas boleh diucapkan oleh seorang Sultan melebihi perkataan "Biadap dan tak reti malu".
Dua perkataan ini bila diucapkan oleh seorang Sultan secara terang terangan adalah umpama satu lontaran tombak beracun tepat ke jantung mangsanya. Melayu yang tidak merasa apa-apa bila mendengar perkataan ini adalah seorang yang sudah hilang kemelayuannya dan tidak wajar bernaung di dalam negeri yang diperintahkan oleh Sultan tersebut. Mereka ini sudah tumpul perasaannya dan rendah akal budinya. Ia lebih pedih dari hukuman penjara. Hukuman penjara adalah hukuman di atas kesalahan jenayah terhadap undang-undang negeri sedangkan ungkapan ini menghukum seorang itu sebagai sudah hilang asal usul dan lebih hina dari perkataan 'kurang ajar'; satu perkataan yang cukup hina di dalam kamus peradaban Melayu.
Di Thailand, Perdana Menteri yang ditegur tidak sampai ke tahap ini oleh Raja Thai akan terus meletakkan jawatan. Begitulah hormatnya rakyat Thai kepada Raja mereka. Apakah kita bangsa Melayu sudah hilang terus rasa hormat kepada Duli-duli Tuanku sehingga tidak merasa sugul atau malu secuit pun, malah masih mendabik dada sebagai golongan moden yang hanya menghormati Perlembagaan dan tidak terasa apa-apa tanggungjawab terhadap Institusi di Raja yang kita dokong?
Inikah kesudahan sistem pembelajaran yang ditaja Kerajaan; yang hanya mampu melahirkan golongan-golongan rendah akal budi dan hilang rasa hormat kepada ibu bapa, datuk nenek, orang-orang tua dan Sultan sendiri? Inikah kesudahan nilai-nilai moden yang diterapkan? Kita telah diajarkan supaya "ikutilah resmi padi, makin berisi makin tunduk. Jangan ikut resmi lalang, makin kosong makin tegak"
Amatlah wajar kita semua mengkaji asal usul kita yang kaya dengan peribadi mulia, sopan santun dalam bicara dan mengeluarkan pendapat, benang ditarik tanpa merosakkan tepung. Hayatilah ungkapan Usman Awang dalam menggambarkan perilaku Melayu;
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
......
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Wednesday, March 04, 2009
GILA TALAK
Pelik dan anehnya ialah semua usul-usul yang dibangkitkan adalah Usul Politik semata-mata. Dengan kehadiran oleh ahli-ahli DUN Pakatan Rakyat sudah tentulah usul tersebut di'luluskan'; umpama soalan periksa di buat sendiri, jawab sendiri dan kemudian bagi markah sendiri... senanglah macam tuh. Itulah sebabnya kuasa memanggil sidang DUN terletak di tangan Sultan kerana Sultan adalah di atas politik. Sidang DUN bertujuan membangkitkan masalah-masalah rakyat dan menentukan halatuju pentadbiran Negeri. Jika ianya dipanggil oleh `speaker' DUN yang berpihak kepada mana-mana parti memerintah dan meluluskan usul-usul politik partisan, maka baiklah adakan di Ibu Pejabat Parti berkenaan, jangan di kawasan Pentadbiran Utama Negeri... Itu semata-mata mencari publisiti murahan.
YAB MB lama juga masih lagi berlagak MB yang sah walaupun telah diarahkan letak jawatan oleh DYMM Sultan yang memerintah atau dianggap dikosongkan. Ke sana kemarilah beliau menegakkan benang basah, dan berduyun-duyunlah Melayu-melayu yang berfikir dengan amarah dan bukan pakai otak melaung-laungkan takbir dan ungkapan tidak enak, seolah-olah Perak adalah Negeri PAS. DAP yang baling batu sembunyi tangan bersorak di belakang, seperti askar dayus dan biarkan Melayu-melayu ini berdepan dengan 'musuh'. Maka lupalah melayu-melayu ini bahawa bapa DAP; Lim Kit Siang pernah mengugut untuk memboikot Majlis Angkat Sumpah MB Perak yang dari PAS ini dahulu. Lupalah mereka bahawa Paduka Sultan Peraklah yang memutuskan bahawa MB adalah dari PAS. Dalam amarah mereka, mereka mencerca DYMM Sultan yang mereka puji dahulu ketika memilih calon PAS sebagai MB Perak..
Sesungguhnya Melayu-melayu ini yang seolah-olahnya mengikut Al Qur'an dan Sunnah, sebenarnya telah diputarbelitkan oleh individu pendendam yang punya matlamat peribadi sendiri, ingin menjadi Pemimpin Agong Negara. Maka lupalah mereka kepada asas perjuangan parti mereka untuk menegakkan Negara Islam di muka bumi ini dan berpeluklah mereka dengan DAP yang terang-terang menentang matlamat ini. Mereka-mereka ini tidak mahu berfikir dengan fikiran sendiri, tetapi mengikut pemimpin membuta tuli walaupun yang Haq dan Batil terang-seterangnya.
Episod Gila Talak ini atau Ayam Gila Sakok, berterusan. YB DS Nizar pun ke sana kemari dengan kereta Kerajaan berlabel Menteri Besar Perak, walaupun telah diarahkan oleh yang empunya (SUK Perak) menyerahkan kembali kepada Pentadbiran Negeri. Di manakah rasa malu? Dan beliau asyik berkokok kokok yang sama; untuk mengadap DYMM Sultan untuk pohon bubarkan Dewan sedangkan DYMM Tuanku sudahpun menyatakan pendiriannya. Bodoh sangat ke beliau, atau memang menjadi boneka DAP yang tidak reti apa maknanya Darjat Kebesaran Sultan.
Setiap patah daripada Tuanku Sultan adalah TITAH. Titah tidak boleh dipersoalkan mahupun diminta tarik balik tanpa menjejaskan martabat Sultan. Titah adalah untuk dipatuhi... Orang Melayu zaman dahulu menjunjung Titah Sultan di atas batu jemala.. Walaupun sekarang kita tidak diminta sedemikian, ianya adalah kerana kewarasan Tuanku-tuanku Sultan mengikut peredaran zaman. Jadi permohonan mengadap untuk memohon perkara yang sudah di titahkan hanya menunjukkan KEJAHILAN semata-mata. Kalau orang bukan Melayu jahil dalam hal ini, ini boleh dimaafkan tetapi jika Melayu yang pernah memegang teraju kepimpinan negeri jahil, amatlah susah untuk difahami.
