Sunday, March 15, 2009

KERJASAMA PAS - BN; IKHLAS KE ATAU GIMIK?

Nik Aziz bantah kerjasama dengan BN
BH Ahad, 15 Mac 2009 18 Rabiulawal 1430


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini menegaskan pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran PAS dan Barisan Nasional (BN) yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini. Ini kerana, katanya, PAS pernah berada dalam kerajaan campuran BN sebelum mereka berpisah daripada kerajaan pakatan itu dan sudah merasa sendiri pahit manis ketika bersama. "Kami sudah cuba masuk dalam kerajaan campuran dulu tapi BN tidak hargai. Cubaan kami masuk dulu gagal, bukan gagal kerana kami, saya sudah perit (serik).

Susulan cadangan Abdul Hadi, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta PAS mengemukakan butiran jelas mengenai cadangan menubuhkan kerajaan campuran antara BN dan pakatan pembangkang di negara ini. Muhyiddin berkata, PAS perlu mengemukakan secara terperinci tentang bagaimana kerajaan campuran itu mahu dibentuk sebelum apa-apa pertemuan dapat dibuat. Semalam, Dewan Pemuda PAS menyuarakan sokongan terhadap cadangan itu dan menganggap ia dibuat pada masa yang tepat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut presiden PAS itu menerangkan maksud beliau kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, sekutu PAS dalam gabungan parti pembangkang. - Bernama

Macam-macam dalam dalam Pakatan Tak Sehalu ini. Kalau dalam PAS sendiri tidak ada kesepakatan suara, mana boleh ia dijadikan asas berbincangan. Ini bukan calang-calang orang yang tak sehalu. Ini antara Presiden PAS Tok Guru Hj Hadi dan Ketua Dewan Ulamak Tok Guru Nik Aziz. Ini ibarat percanggahan antara Khameini sebagai `Spiritual Leader' dengan Presiden Ahmadinejad; sistem yang diciplak oleh PAS.

Dari dulu lagi isu-isu penting tidak disepakati oleh pemimpin-pemimpin PAS yang lebih mementingkan pendapat sendiri dari pendapat Parti. Ini baru di kalangan golongan Ulamak dalam PAS, belum lagi di antara golongan ulamak dengan golongan intelek dan teknokrat muda. Golongan muda ini mempunyai cara pemikiran sendiri dalam konteks menzahirkan Islam yang syumul.

Sekarang DAP minta Hj Hadi memberikan penjelasan dalam forum PR. Kalau rumah sendiri belum sehala, bagaimana hendak berbicara dalam konteks `Rumah Panjang Pakatan'; pahlawan-pahlawannya menari dengan tarian yang berlainan; ada Tari Naga, ada Tari Sufi, ada Tari Katak. Inikan pula untuk berpakat bagi rundingan dengan Rumah Nasional.

Dalam hal ini saya agak keliru. Hj Hadi adalah pemimpin PAS yang paling lantang menentang BN hingga keluar Amanat Haji Hadi yang telah memisahkan Orang Melayu sehingga peringkat kafir mengkafir. Beliau adalah tokoh berfikiran keras dalam PAS. Sebarang bentuk persefahaman dengan Kerajaan BN akan ditentang keras. Nik Aziz pula terkenal sebagai tokoh yang lembut tetapi pendiriannya tetap tajam dan tak kering dari kontroversi termasuk kontroversi Allah Samseng satu masa dahulu. Apapun umumnya rakyat Orang Melayu lebih menghormati Nik Aziz tidak kira PAS atau UMNO kerana keperibadiannya sehingga ramai berpendapat bahawa pegangan kuat PAS di Kelantan adalah kerana diri Nik Aziz sendiri yang dihormati dan bukan parti PAS.

Oleh itu apa sebenarnya yang bermain di fikiran Hj Hadi? Benarkah beliau serius memberikan cadangan tersebut atau hanya satu cara untuk upstage Nik Aziz sebagai tokoh besar PAS? Satelah berpeluk cium dengan Lim Kit Siang, Haji Hadi dapat mimpi baru kah? Tiba-tiba sahaja pusing 180 darjah? Atau sudah muak kah beliau dengan sepak terajang Kung Fu Naga yang tak kira rakyat atau Raja, tak kira adat atau agama? Nik Aziz pula ungkit serik kerana pengalaman zaman Dato' Asri lagi. Masalah PAS dalam BN dulu bukan besar, hanya PAS mahu bertanding di kawasan BN walaupun masih dalam BN. Bagaimana pun dengan DAP dan PKR masa pilihanraya PR12 boleh pula berpakat? Tak serik?? Hairan bin ajaib...

Oleh itu saya rasa tak perlulah berikan harapan tinggi terhadap permainan baru ini. Mungkin Hj Hadi ingin cuba gunakan taktik Trojan Horse. Mungkin dia baru sedar ada tektik berkenaan dalam teknik peperangan. Saya sangat setuju dengan cadangan Muhyiddin yang mahukan PAS kemuka butiran penuh. Ini politik matang. Pekara baik hendaklah disambut walaupun sudah nampak jerat di hadapan. Dalam bersambut tangan di hulur sedia menangkis sebarang ancaman; inilah tari Pesilat Melayu yang sopan membuka langkah; dalam tari ada buah, dalam buah ada tari. Tari bersilang tangkis, tangkis bersilang buah. Wajah tenang tersenyum, kaki melangkah dalam kuda-kuda. Bunga tak rosak, racun tak mengena. Ini dia sifat Melayu sejati.

No comments: